INILAH 7 saham akhirat yang perlu umat Islam ketahui.... Semoga Ianya Bermanfaat..Kongsikan Kepada Semua..


Tahukah anda, terdapat beberapa jenis ‘saham’ yang masih berterusan, sekalipun setelah kita meninggal dunia. Dan, menariknya ‘saham’ ini juga akan membantu kita di akhirat kelak. Apakah ‘saham’ tersebut?
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawasanya ‘saham’ yang dimaksudkan pada tajuk artikel ini ialah sedekah jariah atau amal jariah. Apa itu amal jariah?
Amal jariah adalah amalan yang terus mengalir pahalanya, walaupun orang yang melakukan amalan tersebut sudah meninggal dunia. Ringkasnya, amalan tersebut terus menghasilkan pahala yang terus kepada pelakunya yang sudah meninggal itu.
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya di antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Daripada hadis tersebut, jelas terdapat beberapa jenis ‘saham’ atau amal jariah yang akan beroleh pahala secara berterusan, antaranya;
#1 – Ilmu Yang Disebarluaskan
Banyak cara yang boleh dilakukan untuk sebarkan ilmu. Selain melalui sekolah, universiti, kolej, berceramah, kursus motivasi dan lain-lain, anda juga boleh berkongsi ilmu melalui di FB, blog, twitter, instagram, you tube dan medium sosial lain.
#2 – Anak Soleh Yang Ditinggalkan
Caranya adalah mendidik anak menjadi anak soleh, iaitu anak yang sering melakukan kebaikan di dunia. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah swt.
#3 – Mushaf (Kitab-Kitab Agama) Yang Diwariskannya
Mewariskan kitab seperti kitab suci al-Quran, kitab tafsir, buku agama dan lain-lain di masjid, surau, perpustakaan awam, sekolah atau maahad untuk kegunaan orang ramai sebagai bahan bacaan, rujukan dan sebagainya.
#4 – Masjid Yang Dibina
Besar ganjaran bagi mereka yang membantu untuk membina masjid bagi kegunaan masyarakat. Sama ada dari sudut fizikal, tenaga, buah fikiran, kewangan atau apa jua pertolongan. Kesemuanya bernilai ibadah di sisi Allah.
#5 – Rumah Yang Dibina Untuk Penginapan Orang Yang Sedang Dalam Perjalanan
Membangunkan rumah penginapan, atau pondok bagi orang yang bermusafir sama ada untuk berehat sebentar, bermalam atau kegunaan lain asalkan bukan untuk bermaksiat.
#6 – Sungai Yang Dialirkannya Untuk Orang Ramai
Mengalirkan air yang bersih ke tempat orang-orang yang memerlukan atau menggali perigi. Semakin ramai orang memanfaatkannya, semakin banyak ‘sahamnya’ di akhirat nanti.
#7 – Harta Yang Disedekahkannya
Harta yang kita miliki hakikatnya terdapat hak orang lain di dalamnya. Asalkan sedekah tersebut diberikan secara ikhlas dan tidak diungkit kembali. Contoh, mewakafkan tanah untuk kawasan perkuburan.
Sedekahkan sebahagian harta juga boleh ‘membersihkan’ rezeki yang kita peroleh kerana tidak diketahui sumber asalnya dan bimbang ia daripada sumber yang syubhah.
Demikianlah beberapa jenis amal jariah yang boleh dilakukan dan kita akan beroleh ‘saham’ di akhirat nanti secara berterusan. Adapun, selain daripada jenis di atas, sebenarnya banyak lagi amal jariah yang boleh kita lakukan asalkan ia memberi kemudahan untuk orang ramai, kemaslahatan ummah, orang yang di dalam kesusahan dan sebagainya.
Justeru itu, bersamalah kita untuk merebut peluang ini bagi menambahkan amalan kita untuk dibawa pulang di ‘tempat abadi sana’ nanti. Wallahua’lam.

0 Response to "INILAH 7 saham akhirat yang perlu umat Islam ketahui.... Semoga Ianya Bermanfaat..Kongsikan Kepada Semua.."

Post a Comment